Monday, December 1, 2008

Ouh! Selamat Pagi Gadis

Photobucket
by Amal(kredit to kosmo)www.myspace.com/amalcr07

BAND yang wujud selepas para anggotanya berkenalan menerusi internet.

BIARPUN masih baru, SPG digerakkan oleh individu-individu yang sudah lama bereksperimen dengan muzik.Mereka bukanlah sahabat sejak kecil, membesar di kawasan sama jauh sekali. Namun di atas rasa cinta terhadap sesuatu yang dipanggil muzik, ‘jodoh’ mereka dipertemukan di atas ‘kanvas putih’ yang dipanggil internet.

Dianggotai oleh lima penuntut beberapa universiti tempatan dan luar negara, Nurul Tatyana Abd Aziz (vokalis), Mohd. Nabil Fikri Hamzah (gitar utama), Mohd. Shafiq Mohd Helmi (gitar kedua), Muhammad Azizi Che Sulaiman (drum) dan Syed Ali Rabbani Syed Bakhtiar (bass), mereka sendiri tidak menyangka Selamat Pagi Gadis (SPG) berjaya ‘dilahirkan’ ke dunia realiti.

“Di antara kami, ada yang tidak pernah bersua muka sebelum ini. Namun selepas meluahkan pendapat dan berkongsi cerita yang sama berkaitan muzik menerusi internet pada awal tahun ini, kami dapat merasakan SPG adalah sesuatu yang istimewa,” ujar Nabil.

Jelas Nabil, keserasian yang terbentuk sebagai sebuah kugiran bukanlah terbentuk daripada hasil latihan bersama pada setiap hujung minggu selama bertahun-tahun lamanya, sebaliknya bergantung kepada keserasian dalam sesuatu band itu.

Malah paling menarik katanya, kesemua lagu yang dicipta mereka juga hanya diolah dan dibincangkan secara maya di internet sebelum mengambil keputusan untuk jamming bersama-sama buat pertama kali di sebuah studio di Kuala Lumpur.

Hasilnya, beritahu Nabil lagi, memang satu kepuasan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Kami bagaikan sudah lama bermain muzik sebagai satu band. Masing-masing bijak mengisi ruang kosong dan saling melengkapi antara satu sama lain meskipun baru pertama kali berlatih.

“Justeru, kami mengambil keputusan untuk mengembangkan ‘formula’ kami bersama-sama sejak itu, kerana ia sesuatu yang tidak akan kami diperolehi di dalam mana-mana buku teks sendirian,” katanya penuh makna.

Kenapa Selamat Pagi Gadis?

Menyedari perlu mempunyai ‘jenama’ sebelum melangkah lebih jauh, masing-masing mula menyiapkan ‘kerja sekolah’ mereka yang pertama iaitu memikirkan nama yang sesuai bagi band mereka.

Antara nama yang difikirkan termasuklah Kinetik Hati dan Rocket, sebelum kesemua mereka bersetuju mengabadikan band mereka dengan nama Selamat Pagi Gadis.

Menurut Nabil, nama itu difikirkan unik, selain mempunyai cerita mereka sendiri berhubung pemilihan ‘jenama’ itu.

“Ia diberikan oleh Tatyana. Terima kasih kepadanya kerana menamatkan penderitaan kami daripada mengambil masa yang panjang memikirkan nama yang sesuai,” ujar Nabil spontan.

Tutur Nabil, Tatyana sebelum ini sering diusik dan digelar ‘Gadis Pagi’ oleh mereka gara-gara dia sering mencari ilham serta berada di laman sembang di internet seawal pagi semasa di awal usia perkenalan mereka.

“Selain mudah diingati, ia juga sebagai lambang salam perkenalan kami buat semua peminat muzik tempatan,” ujarnya.

Meskipun kedengaran mustahil untuk mereka sentiasa berjumpa sesama sendiri lantaran perbezaan jarak serta komitmen terhadap pengajian, tambahan pula Nabil dan Syed Ali kini melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Glasgow, Scotland manakala yang lain masih bergelar mahasiswa di universiti tempatan, ia bagaimanapun bukanlah sesuatu yang mustahil buat Nabil dan rakan-rakan SPG yang lain.

“Yang penting, jiwa kami ada bersama SPG. Saya optimis betapa SPG yang baru ‘bertatih’ di dalam dunia muzik tanah air ini mampu berjalan lebih jauh,” katanya.

Jelas Nabil, SPG bakal dibantu oleh beberapa rakan akrab iaitu Fikri (bass) dan Afiq (keyboard/gitar) sepanjang ketiadaan mereka berdua ke Scotland dalam tempoh lapan bulan selepas ini bagi menamatkan semester pengajian.

“Sepanjang tempoh itu, saya juga akan mencari ruang dan peluang untuk kami beraksi secara live di dalam dan luar negara,” katanya.

Photobucket


Mereka bagaimanapun dijangka akan kembali aktif dengan pelancaran mini album (EP) mereka yang pertama berjudul Kinetik Hati yang bakal diedarkan di pusat bisnes berdaftar seluruh negara untuk dijual pada harga yang berpatutan tidak lama lagi.

Katanya, segala kos perbelanjaan untuk rakaman EP tersebut datang dari poket SPG sendiri, selain susunan lagu yang turut dicipta sepenuhnya oleh Nabil dan Mohd. Syafiq Helmi selaku anggota SPG sendiri.

Ia memuatkan tiga lagu SPG sebagai mukadimah yang berjudul Bicara, Waktu Indah Dahulu dan Panahan Elektro.

“Mungkin, ia kedengaran kurang gah apabila dinilai daripada segi kuantiti, namun bagi kami kualiti adalah aspek paling utama untuk diambil kira.

“Proses penyiapan lagu,susunan struktur dan lirik-lirik juga diperkemaskan satu persatu sehingga kami mereka benar-benar yakin mampu memenuhi selera khalayak.

“Kami harap, salah satu daripada lagu tersebut terutamanya Waktu Indah Dahulu berjaya menggamit perhatian mereka yang menyokong perjuangan kami,” ucapnya.

Band ‘cendawan’ yang tumbuh

selepas Hujan?

Ketika diajukan soalan adakah SPG satu lagi band ‘cendawan’ yang tumbuh selepas band Hujan diterima masyarakat secara universal, Nabil hanya tertawa.

“Tidaklah, kami bukan cendawan. Tapi, sedap juga jika ada band yang menggunakan nama cendawan,” seloroh Nabil.

Tambahnya, masih banyak band-band tempatan yang berkualiti seperti SweeT CaLeNDaR, Flossy, O-Two, The Otherside Orchestra, Vials, Pushpapura, Komplot, Mohd. Jayzuan, Free Love, Lisa’s Diary serta banyak lagi, namun nama mereka masih terlalu asing serta terpinggir di bumi sendiri.

Kesemua band-band itu, kata Nabil, boleh ‘diterokai’ menerusi laman web Myspace.

“Saya bersyukur kerana kehadiran band-band seperti Hujan, Bittersweet, Meet Uncle Hussein dan banyak lagi berjaya membuka mata ramai pihak.

“Namun, tidak adil untuk menutup terus peluang band-band baru ini dan beranggapan bahawa kami hanya bermula dan beriya-iya menubuhkan band selepas ia menjadi satu fenomena luar biasa kepada peminat muzik Malaysia.

“Percayalah, ramai lagi anak Malaysia yang berbakat. Kami semua hanya menterjemahkan sesuatu ilham, dan mereka di luar sanalah yang menjadikannya indah untuk dikenang sampai bila-bila,” katanya.

Malah percaya atau tidak, meskipun dianggap ‘hingusan’ dan mungkin langsung tidak dikenali oleh peminat muzik tanah air, SPG sebenarnya telah mempunyai ribuan peminatnya tersendiri yang tetap setia mengikuti perkembangan mereka menerusi laman web Myspace tersebut.

“Tolong jangan panggil mereka peminat. Mereka bukan peminat, namun sebaliknya mereka adalah sahabat kami yang akan sentiasa bersama kami tidak kira di dalam apa jua situasi,” kata Nabil membetulkan penulis.

Jelas Nabil, meskipun SPG agak ‘hijau’ dan belum dikenali secara universal, hakikatnya mereka ialah individu-individu yang sudah lama bereksperimen dengan muzik bersama kugiran yang berbeza-beza sejak penghujung 1990-an lagi.

“Jauh di sudut hati kami, kami harap kehadiran SPG dapat membawa sesuatu yang berbeza serta relevan untuk diterima sebagai satu idea baru di dalam industri muzik negara kita,” katanya.

Photobucket


Dalam pada itu, Nabil juga agak keberatan untuk mengulas soalan mengenai mengapa band underground dilihat sukar memberikan kerjasama dalam mendapat liputan meluas di dada-dada akhbar terutamanya arus perdana.

“Tidak adil untuk saya menjawab soalan ini untuk mewakili band-band lain, kerana masing-masing mungkin mempunyai alasan yang berbeza.

“Namun bagi SPG, populariti bukanlah agenda utama. Jika lagu kami mampu mencuri perhatian meskipun cuma seketika, itu sudah lebih daripada cukup sebenarnya dan saya percaya band-band lain juga sebegitu.

“Malah, kami juga bersetuju ditemu bual kamu kerana mengetahui kamu ikhlas membantu kami supaya muzik kami dihayati dan dihargai oleh mereka yang masih belum mengenali siapa itu SPG,” tegasnya.

Ditanya apa yang akan terjadi kepada SPG dalam tempoh lima tahun akan datang, lama Nabil terdiam. Katanya, segalanya terlalu sukar untuk diramal kerana masing-masing mempunyai keutamaan karier yang berbeza, namun apa yang pasti SPG akan terus berkarya kerana muzik adalah ‘teman hidup’ mereka buat selama-lamanya.

Selain bercita-cita memperluaskan empayar muzik mereka ke beberapa negara jiran, mereka juga mahu kehadiran mereka dan band-band lain bukan sekadar memeriahkan industri muzik tanah air, namun pada masa sama menjadi satu petanda kebangkitan bahawa Malaysia juga tidak ketandusan band yang berbakat.

“Sekurang-kurangnya, ada yang akan berkata, ‘Oh, inilah band dari Malaysia! Tabik!’” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

Sebarang maklumat lanjut mengenai SPG bolehlah berhubung terus dengan mereka di http://www.myspace.com/selamatpagigadis dan http://amp.channelv.com/selamat pagi gadis atau e-mel selamatpagigadis@gmail.com.

No comments: